BAB 2
Seperti biasa, hari hujung minggu adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka berdua. Kesibukan di alam persekolahan dan kekangan kerja sekolah menyebabkan mereka jarang berhubung pada hari sekolah lebih-lebih lagi kelas mereka yang berlainan turut menjadi faktor utama masalah mereka. Lagipun, mereka terpaksa menghadiri beberapa kelas tambahan yang dianjurkan kepada tingkatan 3 yang akan menduduki PMR.
Dari jauh, Anna melihat seorang gadis bertudung merah sedang mengayuh basikal ke arahnya sambil melambai-lambaikan tangan kepadanya. Siapa lagi kalau bukan gadis ceria dan aktif macam Kalisya. Isya terus memberhentikan tunggangannya sebaik sahaja tiba di hadapan Anna. Seperti biasa mereka akan membentangkan tikar di pinggir pantai kampung. Kebiasaannya mereka akan mengulang kaji bersama-sama ataupun melukis pemandangan sepanjang pantai sekiranya mempunyai masa lapang.
Anna tertawa kecil apabila mendengar jenaka lawak Isya yang pelbagai itu. Sesekali dia terfikir. Isya bukan sahaja pelajar yang rajin dan aktif, dia juga pelajar yang paling terpandai dalam tingkatan. Namun, dia bukan datang dari keluarga berada. Ayahnya seorang tukang kayu di kampung dan jika ada masa terluang dia akan menangkap ikan di laut sebagai tambahan pendapatan manakala ibunya bekerja sebagai tukang jahit persendirian untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Sebagai anak yang sulung, Kalisya akan membantu ibunya di kedai dan ayahnya di laut apabila mempunyai masa lapang. Walaupun dibendung dengan kesibukan, Kalisya tidak pernah lupa untuk belajar atau mengulang kaji matapelajaran. Baginya, PMR tahun ini adalah suatu cahaya buatnya untuk menjadi seorang berjaya. Anna tidak pernah melupai semangat dan tekad Kalisya yang mahu melihat keluarganya senang. Anna yang menjadi pemerhati hanya tersenyum manis, semangat Kalisya sering kali menjadi pedoman buat dirinya untuk berjaya sepertinya.
"Hei, mengelamun ke?" kata Isya dengan selamba apabila melihat Anna yang diam tidak berkutik itu. Kalisya terus tertawa kecil apabila melihat tangan Anna yang lincah menulis tadi berhenti. "Taklah. Mana ada" bohong Anna lalu segera menyambung tulisannya yang terhenti. Isya yang faham dengan karenah Anna hanya mendiamkan diri.
Sudah hampir dua jam suku mereka mengulang kaji di pinggir pantai Tenggiri. Tiba-tiba, titisan air hujan mula mencurah dan membasahi bumi bertuah itu. Kalisya dan Anna terus mengemas semula buku yang berselerakan di atas tikar. Mereka terus meluncur laju mengayuh basikal pulang ke rumah masing-masing.
Anna tersenyum gembira melihat bunga api yang berdentam-dentum di dada langit, sesekali dia tertawa kecil melihat gelagat sahabatnya yang turut sama-sama bermain mercun dengan sekumpulan kanak-kanak riang. Senyuman itu tak pernah lekang hadir dalam hidupnya. Senyuman itu jugalah yang mengajar dirinya untuk tidak berputus asa dan reda dengan ketentuan Ilahi.
Mak Siti yang melihat Anna hanya melihat Isya di luar halaman terus menyentuh bahu gadis berbaju kurung merah jambu itu. Dia tersenyum manis memandang gadis yang sudi menjadi sahabat baik anaknya. Buat sekian kalinya, Mak Siti memandang anak sulungnya yang lengkap berpakaian baju kurung sedodon dengan baju kurung Anna.
Anna yang memandang Mak Siti pula hanya membalas senyuman lalu kembali merenung sahabat baiknya itu. Sesekali juga Kalisya memanggil-manggil Anna untuk turut serta namun gadis itu tidak biasa untuk bermain mercun seperti itu.
"Terima kasih ya Anna sebab belikan baju raya untuk Isya" bisik Mak Siti di cuping telingnya. Anna yang mendengar hanya mengangguk perlahan. Kedengaran ayah dan ibunya tertawa kecil yang berborak-borak dengan ayah Kalisya. Tiba-tiba, dia teringatkan sesuatu. Dia ingin memberikan Isya hadiah sempena ulang tahunya itu.
"Isya!" pekik Anna kepada Isya yang tengah khusyuk bermain itu. Buat sekian kalinya barulah Isya mendengar sahabatnya itu memanggilnya. Perlahan-lahan Anna terus menarik tangan Kalisya sehingga ke dapur. Nampaknya, tiada sesiapapun yang berada di situ kerana semua keluarga mereka berkumpul di ruang tamu.
"Ada apa?" soal Isya ingin tahu. Dia melihat Anna yang hanya tersenyum manis ke arahnya. "Nah!" kata Anna lalu menghulurkan sebuah kotak bersaiz sederhana kepada Kalisya. Tanpa banyak bicara, Isya terus mengambil kotak itu dari tangan Anna. "Selamat hari jadi" kata Anna sambil memandang Kalisya yang membisu. Dia tahu pasti gadis itu lupa tentang ulang tahunnya dan kelihatannya gadis itu terkedu.
"Hari jadi? Macam mana An tahu ini?" soal Isya terkejut. Anna hanya membiarkan soalan Isya tidak berjawap lalu terus memeluk tubuh sahabatnya itu dengan erat. Buat sekian kalinya gadis bernama Kalisya itu terkedu. Dia membiarkan dirinya hanyut dalam pelukan Anna. "An, terima kasih buat segala-galanya" ucap Isya lembut. "Terima kasih kerana sudi jadi kawan An" balas Anna pula. Mereka berdua saling berpelukan di malam raya yang hening itu.
Anna terus meleraikan pelukannya apabila namanya dipanggil berkali-kali oleh ibunya. Rasanya mungkin untuk balik lagipun jam sudah menandakan pukul 10 malam. Buat sekian kalinya gadis itu menguap kecil sambil melangkah keluar dari dapur. Isya pula terus menghilang entah ke mana dalam rumah kayu itu.
Anna melihat ayah dan ibunya bersalam-salaman dengan keluarga Isya di situ. Beberapa orang adik Kalisya pula sudah menyalami tangannya di beranda rumah. Mak Siti pula terus memeluk Anna sambil tersenyum manis melihat gadis itu. "Dah salam sama Isya ke?" bisik Mak Siti sekali lagi di cuping telinganya. Anna hanya tersenyum lalu mengorak langkah masuk kembali ke dalam rumah. Dia terus mencari-cari kelibat Isya yang menghilang tetapi langsung tiada jawapan. Dia berteriak beberapa kali memanggil-manggil nama gadis itu. Tiba-tiba hatinya terdetik untuk mencari semula gadis itu di bilik.
"Isya!" panggil Anna sekali lagi. Namun, tiada langsung jawapan. Dia memandang sekeliling ruang bilik tidur itu. Ternyata hampa. Tiada langsung wajah sahabatnya di situ. Tiba-tiba dia mendengar seseorang mengerang kesakitan. "Isya!" Anna terkejut apabila mendapati tubuh gadis itu terbaring kujur di tepi katil. Dia melihat beberapa tompokan darah kelihatan pada baju kurung gadis tersebut. Dengan pantas, Anna berlari anak menuju ke beranda rumah dan memberitahu perkara sebenar kepada keluarganya.
(895 words)
Thanks again sbb sudi baca. and, the last part will be next page... :)
Thanks again sbb sudi baca. and, the last part will be next page... :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan